ACEH TOUR 7-9 JULY 2017

Kembara saya kali ini ke Bumi Serambi Mekah, Aceh ditemani sahabat-sahabat rapat di bumi bersejarah Aceh Darussalam, yang kaya dengan tradisi islam dan nusantara, keramahan dan kejujuran warganya serta keindahan alam yang mempesona.

Aceh bukanlah asing bagi masyarakat Malaysia, wilayah ini merupakan salah satu wilayah istimewa dalam negara Indonesia dan terletak di utara kepulauan sumatera. Bandar utama bagi provinsi Aceh ialah Banda Aceh. Selain itu, Aceh juga berdekatan dengan pulau-pulau Andaman dan Nicobar, India dimana ianya hanya dipisahkan oleh Laut Andaman. Terdapat 10 kumpulan etnik di wilayah ini di mana suku Aceh mewakili 80 hingga 90% daripada jumlah populasi.

Aceh dikenali umum sebagai wilayah yang mana bermulanya penyebaran Islam di Indonesia dan telah memainkan peranan penting sebagai pusat penyebaran agama Islam di Asia Tenggara. Dipercayai, agama islam telah tiba di Aceh sekitar tahun 1250 masihi dan pada awal tahun 1700, Kerajaan Aceh tersohor sebagai kerajaan yang kaya, berkuasa dan berdaulat di sekitar Selat Melaka.


Hari Pertama

Perjalanan kami ke Banda Aceh bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan telah mengambil masa selama 1 jam 40 minit. Alhamdulilah, kami selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh pada pukul 9.30 pagi, waktu tempatan. Senibina lapangan terbang ini mempunyai kubah, memaparkan pengaruh Islam yang tebal dalam masyarakat Aceh. rombongan kami disambut mesra oleh tour guide dan kami dibawa menikmati sarapan pagi di restoran tempatan. Selepas menikmati sarapan pagi, kami memulakan kembara kami mengimbau tragedi tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004.

Tempat pertama kami yang kami lawati ialah Kuburan Masal Siron yang mana merupakan salah satu monumen tsunami yang telah diwartakan oleh kerajaan Indonesia sebagai memperingati kejadian tsunami yang telah melanda Aceh kira kira 12 tahun yang lepas. Di kawasan perkuburan ini sahaja, seramai 46, 718 mangsa korban Tsunami telah dikebumikan. Kawasan perkuburan ini sangat luas dan tidak mempunyai batu nisan. Disebabkan jumlah kematian yang tinggi dan mayat yang semakin membusuk, kerajaan membuat keputusan untuk mengebumikan mereka di dalam liang-liang lahad yang besar. Al-fatihah untuk semua mangsa korban tsunami Aceh.



Selepas itu, kami berkunjung pula ke Muzium Tsunami. Apabila kami masuk ke muzium ini, kami berasa sebak, seakan-seakan mengajak kami mengimbau kejadian tsunami yang telah meragut hampir 200 ribu orang, iaitu di Aceh sahaja. Pelbagai lukisan dan grafik yang memaparkan detik-detik cemas ketika berlakunya tsunami.

Di dalam satu bilik, terdapat senarai nama mangsa yang terkorban yang diletakkan di dinding dan di bahagian atas sekali, tertera kalimah Allah, yang membawa makna semua manusia akhirnya kembali kepada pencipta mereka. Selain itu, terdapat pameran yang menunjukkan bantuan-bantuan kemanusiaan yang diterima oleh Indonesia daripada negara-negara luar.

Yang pastinya, Malaysia selaku jiran tetangga terdekat dengan Aceh, Indonesia merupakan antara negara-negara awal yang telah menghantar bantuan kecemasan bagi membantu mangsa disini selain terlibat aktif dengan pembinaan semula Aceh pasca tsunami. Kebetulan kami datang pada hari sabtu, oleh itu ramai rakyat tempatan yang datang melawat termasuk kumpulan-kumpulan kecil dari Malaysia.


Kemudian, kami berkunjung pula Kapal PLTD Apung, iaitu sebuah kapal generator eletrik yang terdampar dibawa arus tsunami sejauh dari 2.5 km dari lokasi asal iaitu di Pelabuhan Ulee Lheuh. Kapal ini ketika ini merupakan “objek hidup” tanda keganasan tsunami yang telah membadai rumah-rumah, kapal-kapal hingga hancur dan lebur. Kami juga melawat Kapal Di Atas Rumah, Lampulo. Sebelum kejadian tsunami, kapal ini berada di limbungan Lampulo, namun disebabkan ombak besar tsunami, kapal ini telah diseret oleh arus deras dan terdampar di atas rumah milik keluarga Misbah. Hikmahnya, seramai 56 orang telah terselamat kerana sempat menyelamatkan diri di atas bot ketika kejadian tsunami.

Kami menuju lokasi seterusnya iaitu Masjid Rahmatullah, yang terletak di Lampuuk iaitu kira-kira 40 minit dari Banda Aceh. Masjid ini terletak kira kira 400 meter daripada kawasan pantai tetapi terselamat ketika badai tsunami menerpa 12 tahun yang lepas. Masjid ini hanya satu-satunya bangunan yang berdiri kukuh, saat semua rumah-rumah, bangunan kedai dan lain-lain hancur musnah sekelip mata dibawa arus. Kuasa Allah membuktikan segala-galanya. tour guide yang membawa kami ke sana telah berkongsi sedikit cerita mengenai pengalaman imam masjid itu tersendiri tentang kejadian tsunami yang menimpa penduduk kampung di situ. Menurut beliau, ketika kejadian tsunami, ombak tsunami sangat tinggi hingga hampir-hampir melepasi kubah masjid. imam masjid itu sendiri telah di bawa arus deras tsunami bersama-sama dengan ratusan mayat manusia, haiwan serta sampah sarap seperti kayu dan banyak lagi.Setelah berjam-jam di dalam air, imam masjid tersebut terselamat setelah berpaut pada kayu yang besar dan diselamatkan oleh pasukan penyelamat kemudiannya. Perasaan sedikit sebak apabila tour guide memberitahu kami yang anak perempuan serta isteri imam tersebut tidak dijumpai dan hilang hingga ke hari ini. Masjid Rahmatullah ini juga mengalami kerosakan kecil dan telah dibaiki dan di baik pulih dengan bantuan kerajaan Turki.



Lawatan kami di sekitar Banda Acheh berakhir pada pukul 5 petang. Kami singgah sebentar di warung makanan di tepi jalan untuk menikmati Mee Ketam Aceh. Mee Ketam Aceh merupakan antara menu terkenal disini, agak sedap rasanya dan sekiranya saudara-saudari bertandang ke sini, jangan melepaskan peluang merasa Mee Ketam Aceh ye. Jelajah Banda Acheh kami selesai setelah  kami selesai menikmati makan malam dan kami pulang ke hotel untuk berehat.



Hari Kedua.

Pada pukul 7:00 pagi kami sudah siap bersarapan pagi dan lawatan kami diteruskan ke Masjid Raya Baiturrahman. Masjid Raya Baiturrahman merupakan masjid utama di provinsi Aceh. Mengikut sejarah, masjid ini telah dibina pada tahun 1612 oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang merupakan antara sultan agong dalam sejarah Aceh. Ketika kami sedang melihat-melihat sekeliling masjid. Masjid dipenuhi oleh kumpulan kecil kanak-kanak seperti sedang mengikuti kelas KAFA.


Selesai melawat Masjid Raya Baiturrahman, kami ke Kantor WaliKota dan berpeluang menyaksikan tarian dari penari-penari Aceh.



Pada pukul 4petang,kami berjalan kaki sekitar Pasar Aceh untuk mencari sedikit ole-ole untuk dibawa pulang ke tanah air. Antara cenderahati yang wajib di beli apabila ke Banda Aceh ialah kopi kerana dikatakan antara yang terkenal di dunia. Selesai mencari sedikit ole ole. kami kemudiannya menghabiskan waktu petang kami di Pantai Ulhee Lheue untuk menikmati permandangan matahari terbenam . Setelah itu, kami dibawa untuk makan malam di sebuah lokal restoran dan kembali ke hotel untuk berehat.





Hari Ketiga

Hari ini merupakan hari terakhir kami di bumi Aceh ini. 3 hari di bumi Aceh, banyak yang kami pelajari. Kejadian tsunami besar 12 tahun yang lepas bukan hanya meninggalkan parut dalam pada warga Aceh, juga membawa sedikit rahmat setelah keamanan dicapai antara kerajaan pusat Indonesia dengan Gerakan Aceh Medeka (GAM). Kesempatan bertemu dengan warga juga memberi kesempatan kepada kami mendengar cerita-cerita kebesaran Tuhan.

Selain itu, kami juga berbual mesra bersama warga tempatan disini dan kami dapati bahasa pertuturan mereka seperti bahasa melayu Malaysia, jadi mudah untuk difahami, malah warga nya sangat mesra. Antara perkara menarik yang saya dapati juga, ialah banyak sekali masjid yang dibina dengan kubah-kubah yang besar dan cantik, melambangkan pengaruh islam yang kuat berakar dalam warga tempatan. Sebagaimana yang diketahui, Aceh juga merupakan satu-satunya wilayah/negeri di Indonesia yang mempraktikkan hukuk-hukum syariah dalam kalangan warganya.

Pengembaraan kami kali ini bukan seperti kembara yang lepas, ada sedikit hikmah dan tauladan yang kami bawa bersama, ada memori yang kami rakam.

Selamat tinggal bumi Aceh. Inshaa Allah, bisa ketemu lagi!


Comments

Popular posts from this blog

SHOPPING PADANG BESAR & PEKAN RABU

CAMERON HIGHLAND + PANGKOR ISLAND 4D3N

2D1N TERENGGANU RM199