Visit Beautiful of Terengganu 2017 (27-29 July 2017)

Selepas bercuti di Negara jiran bulan lepas, kali ini saya ingin menceritakan pengalaman bercuti di dalam Malaysia pula bersama kenalan yang baru saja saya kenali sewaktu berada di Terengganu. Kali ini kami bercuti ke Terengganu selepas mendapat email dari MATTA HQ di Kuala Lumpur untuk mengikuti program “Domestic Familiarization Trip to Terengganu”. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mempromosikan lagi negeri Terengganu Darul Iman ke seluruh negeri. Trip kami bermula dari Kuala Lumpur ke Tasik Kenyir dan kami bertolak dari Kuala Lumpur pada sebelah malam melepasi Plaza Tol Gombak sekitar jam 12.30malam. Kami mengikuti Lebuhraya KL-Karak, dan kemudian terus masuk ke LPT 1 dan LPT2 sebelum menuju terus ke Kuala Berang dan Pengkalan Gawi.
HARI PERTAMA
Sekitar  jam 8pagi kami sampai di Jeti Pengkalan Gawi dan terus bertolak ke Pan Dragon Cruise untuk bersarapan pagi . Perjalanan yang mengambil masa 20minit dari Jeti dengan menaiki speedboat. Memang excited habes sebab first time dapat naik speedboat.




Selesai bersarapan pagi dan beramah mesra bersama owner houseboat Encik Mohd Apandi bin Abdullah. Aktiviti pertama kami di Tasik Kenyir adalah Melawat Taman Orkid. Jangan terkejut kerana Pulau Orkid ini mempunyai 15000 pokok kesemuanya dan hanya mempunyai 500 spesis di sini dari 3000 spesis orkid yang terdapat di Malaysia. Taman ini dibuka pada 22.05.2014 dan keluasan Taman Orkid ini pula melebihi 17hektar . Malangnya pada hari kami menjejakkan kaki ke taman ini, orkid ini tidak berbunga disebabkan hampir seminggu Tasik Kenyir ini tidak dikunjungi hujan.




Selepas sejam di Taman Orkid, kami kemudiannya ke Taman Herba yang terletak di Pulau Sah Kecil yang berhampiran RPP Tasik Kenyir. Taman Herba ini mempunyai kira-kira 26,000 pokok herba yang terdiri dari 230 jenis pokok.  Setibanya kami di sana, kami diberi sedikit penerangan mengenai pokok herba sepeeti tongkat ali dan mahkota dewa. kami juga berpeluang merasa sendiri air tongkat ali dan kacip fatimah sebelum mula berangkat ke Gua Bewah.




Dari Taman Herba ke Gua Bewah mengambil masa lebih kurang 15minit menaiki speedboat. Gua Bewah pula merupakan salah sebuah gua yang penuh dengan bahan-bahan sejarah. Para pengkaji sejarah telah menemui pelbagai kesan peninggalan seperti rangka manusia dan peralatan zaman pra-sejarah termasuk senjata dan peralatan memasak. Jika di Perak mempunyai “Perak Man”, di Gua Bewah ini pula terdapat “Bewah Man” kerana terdapat rangka seorang remaja perempuan yang dianggarkan berusia kira-kira 16000 tahun itu ditemui pada kedalaman 65 sentimeter (sm) hingga 70 sm yang disemadikan dalam keadaan merengkok dengan lutut dilipat hingga ke bahagian dagu seolah-olah kedudukan seorang bayi di dalam rahim ibunya. Gua Bewah ini  sangat sesuai untuk mereka yang menggemari aktiviti adventure kerana untuk memasuki Gua ini perlu mendaki 240 anak tangga.


lumut hijau bersinar



setelah puas meneroka Gua Bewah, kami kembali menaiki bot laju untuk ke Air Terjun Lasir yang terletak hampir sejam perjalanan dari Gua Bewah. Setibanya di sana tanpa menunggu lama, kami menikmati makan tengahari yang sudah agak lewat. Kami mencari tempat untuk duduk menjamu selera. Hidangan yang terhidang di depan mata tidak dibiarkan lama kerana masing-masing sudah mula lapar. Sesudah makan, kami meninjau dahulu kawasan sekitar sambil bergambar latar belakang Air Terjun Lasir hiks. Entah bila pulak boleh sampai sini kan. Dah bergambar latar belakang air terjun, tunggu apa lagi mehlah kita mandi-manda sampai kecur badan.


Port mandi atas nie paling best. Tapi nak ke port tu punyalah mencabar sebab batu dia tersangatlah licin. Nyaman gila badan bila dipukul air terjun yang laju itu. Nak lagi please haha.

Dah puas mandi dekat air terjun yang laju tu, kami pun sambung pulak mandi dekat bawah sikit. Air dekat situ tenang and lapang sikit tempatnya. Siap boleh berenang & bermain dengan anak ikan tau. Apa ntah nama anak ikan yang gigit-gigit kaki kita tu. Anak ikan tu banyak betul dekat sini. Best pulak bila dia gigit-gigit kaki. Layan je.


Hampir 2 jam jugak mandi-manda and layan ikan kecik gigit-gigit kaki. Dahsyat betul masing-masing. Maklumlah bukan senang nak jumpa air terjun semulajadi. So bila dah dapat peluang macam nie, memang akan digunakan sebaik mungkinlah kan. Mujur tak berendam dalam air sampai Maghrib terus wakaka.
Puas mandi-manda, kami bertolak ke rumah penginapan yang akan kami bermalam nanti.


setibanya di rumah penginapan, Petang Island Resort, kami disambut dengan “welcome drink” dari tuan rumah. Pada mulanya, kami ingat air yang terhidang adalah air teh biasa, biasalah masing-masing sudah keletihan akibat berendam di Air Terjun Lasir. apabila masuk je ke tekak, rupanya air teh halia . adehhh ! boleh tahan rasanya, maklum lah 1st time mencuba air teh halia ni haa . hahahaha..
Sesudah check in, kami mendapat rumah penginapan yang diberi nama “KELISA” dan merupakan suite kategori. kami meninjau kawasan sekitar rumah penginapan, maklum lah sebuah rumah penginapan hanya diberi 2orang sebagai teman tidur. Kemudahan yang disediakan di dalam rumah penginapan ialah 2 bilik ( 1 bilik kecik, 1 master bedroom), 1 bilik air di bilik master, dapur (peti sejuk, kabinet, meja makan, perkakas memasak) dan sofa dekat ruang tamu. Memang highly recommend rumah penginapan ini untuk kami yang hanya berdua sahaja. Yang paling syok sekali, dekat sini takde line tau. Jangan harap la nak update status Facebook dekat sini. Inilah masanya kami nak bersosial dengan rakan taulan & keluarga. korang yang anti sosial, yang 24 jam facebooking tu memang stress lah stay dekat sini haha. Padan muka. (diri sendiri terasa T_T)
Kami diberikan masa untuk melakukan aktiviti bebas sehingga pukul 8malam. Akibat keletihan, selepas membersihkan diri, masing-masing terbongkang tidur.
Selesai makan malam, kami dijemput ke dewan untuk sesi taklimat mengenai “Pembangunan Tasik Kenyir” oleh YM Tengku Ahmad Nazri bin Tengku Musa Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).



Sesudah sesi taklimat, kami juga sempat beramah mesra dan bergambar bersama beliau sebelum pulang ke rumah penginapan masing-masing untuk tidur.
HARI KEDUA 
Selesai bersarapan pagi, kami pun bersiap untuk ke Santuari Kelah. Korang yang bercuti ke Tasik Kenyir, wajib tau datang ke Santuari Kelah bermain dengan ikan kelah. Syok gila !
Setibanya di Hentian 1, kami sempat bergambar sebelum memulakan perjalanan untuk ke lubuk Santuari Kelah.


Perjalanan dari tangga Santuari Kelah ke lubuk ikan kelah boleh tahan jauh. Almost 2km jugak turun naik bukit melalui laluan pejalan kaki yang disediakan. Nanti dipertengahan jalan kami melalui 1 jambatan gantung. Nice jugak view atas jambatan gantung nie. Singgah bergambar dulu ekeke.


Ok dah sampai di lubuk ikan kelah. Jom kita bermain dengan ikan kelah. Sekali kami tabur makanan dalam air, cepat je ikan-ikan kelah datang dekat kami. Bukan sikit tau. Banyak gilaa. Besar-besar pulak tu. Dia siap sedut-sedut lagi jari-jari. Tapi jangan risau dia tak gigit pun. Habis berkocak air dengan kehadiran ikan kelah. Happy ye dapat makan? haha. Nie confirm seminggu sekali je orang bagi makan. Yela tunggu weekend baru ada orang datang bercuti dekat sini kan.
Gigih salah seorang dari peserta team kami berusaha untuk menangkap ikan kelah. Yang kegelian dengan ikan kelah pun ada ni haaa. Dah macam pesta tangkap ikan kelah pulak. Masing-masing excited dengan ikan kelah. Lama jugak kami lepak sini almost sejam kot. Dah habis makanan ikan, berselfie baru kami berkumpul untuk beredar. Bagi chance dekat orang lain la pulak bermain dengan ikan kelah.
Sepanjang perjalanan ke Hentian 1, terdapat ramai pengunjung baru tiba untuk bermain dengan ikan kelah.




Setibanya kami sampai ke rumah penginapan, kami diberikan masa selama setengah jam untuk membersihkan diri serta mengemas untuk kembali ke Pengkalan Gawi bagi menikmati makan tengahari sebelum bergerak ke destinasi seterusnya.
Sesudah makan tengahari, kami bertolak menaiki bas ke Kenyir Elepant Conservation Village (KECV). KECV adalah rumah kepada 12 gajah yang kini sedang diperluaskan lagi dalam masa terdekat. Semua gajah di taman ini adalah semua gajah liar yang ditangkap di seluruh Semenanjung Malaysia. Mereka kemudian disimpan di hutan simpanan ini yang terletak di tengah-tengah sungai Telemong di mana mereka boleh berkeliaran bebas di kawasan besar. Kawasan ini dijaga dengan pagar elektrik untuk mengelakkan gajah keluar dan mengelakkan haiwan liar lain dari masuk.

  

Sebelum memulakan pengembaraan di dalam hutan simpanan. Kami diberi sedikit taklimat dari penjaga disitu mengenai peraturan di dalam hutan simpan tersebut. Di sekitar taman santuari gajah ini, ada aktiviti isquo canopy walk yang menarik. Kanopi ini dihubungkan melalui 7 menara  dan 6 platform yang laluannya sepanjang 600 meter. Untuk aktiviti laluan kanopi ini, anda dinasihatkan menyediakan air minuman secukupnya kerana aktiviti ini agak memenatkan. Titi gantungnya panjang dan ada beberapa tangga yang perlu dilalui. Anda dinasihatkan tidak melakukan aktiviti ini jika tahap kesihatan dan stamina anda tidak memuaskan.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama gajah di sini ialah melihat gajah mandi, bergambar, memberi gajah makan, menunggang gajah dan sebagainya. Di sini bukan sahaja dapat bermain dengan gajah-gajah yang besar. Malah ada juga anak-anak gajah yang comel-comel belaka. Selesai melakukan semua aktiviti, pada pukul 4petang, kami diarah untuk ke tempat di mana kami boleh melihat persembahan dari gajah-gajah yang berada di situ.
Persembahan dari gajah-gajah tersebut sangat mencuit hati kami semua. Memang tak rugi kalau datang ke sini bersama keluarga mahupun kawan-kawan.





Sesudah melakukan persembahan, gajah-gajah dibawa mandi di sungai Temelong yang mengalir di dalam hutan simpan tersebut dan kami diberi kesempatan untuk mandikan gajah-gajah tersebut.


Pada pukul 6petang, kami bertolak ke Kuala Terengganu untuk memulakan “city tour” di Kuala Terengganu pada keesokkan harinya pula. Perjalanan yang mengambil masa selama sejam kami gunakan untuk merehatkan diri sebelum tibanya di Permai Hotel untuk menginap selama semalam disana.

Permai Hotel, Kuala Terengganu

Disebelah malam pula, kami dijemput untuk makan malam bersama-sama dengan Menteri-menteri dan penyelia Kerajaan Negeri Terengganu di Ballroom hotel tersebut. Makan malam berlangsung dengan lancar sambil beramah mesra bersama Menteri-menteri disana. Sebelum berakhirnya makan malam, kami sempat bergambar bersama Menteri Kerajaan Negeri Terengganu. huishhh bukan senang tau nak berjumpa dengan menteri-menteri ni.. hihihi




HARI KETIGA
Hari terakhir di Terengganu kami manfaatkan sepenuhnya dengan melawat Bandar Kuala Terengganu. Selepas bersarapan di hotel, kami memulakan aktiviti pertama ke Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man. Disebabkan kesuntukan waktu untuk menjelajah seluruh Taman Monumen tersebut, kami membuat keputusan untuk menaiki kereta api yang disediakan di situ supaya kami sempat habes menjelajah seluruh taman tersebut. Perasaan teruja melihat monumen-monumen masjid yang berada di taman tersebut tidak dapat digambarkan. Bukan senang ye dok nak tengok masjid-masjid popular yang ada di seluruh negara, dapat tengok momumen pun jadi laa.. hihihi
Kami juga berkesempatan membeli sedikit ole2 di kedai yang berada di situ untuk dibawa balik.
Selepas puas jelajah taman tersebut, kami menaiki TATI River Cruise sambil menyusuri sungai Kuala Terengganu. TATI River Cruise ialah produk pelancongan terbaru yang memberikan pelancong peluang untuk menyusuri sungai Kuala Terengganu dengan menaiki bot besar berbumbung sambil menikmati pemandangan di persisiran sungai yang cantik dan mendamaikan. Tour Guide yang berada didalam cruise tersebut juga sangat ramah sepanjang kami menyusuri sungai tersebut.

Kami juga tidak lepaskan peluang untuk mengambil gambar di Masjid Kristal salah satu masjid yang popular dan wajib dikunjungi apabila ke Kuala Terengganu. Senibina Masjid Kristal yang unik dan kubahnya yang diperbuat daripada kristal menambat hati pelancong-pelancong untuk melihat sendiri kecantikan masjid ini. Ramai sungguh pengunjung yang berkunjung ke situ dan kami juga tidak lepaskan peluang untuk bergambar di situ.




Kami kemudiannya bergerak ke Warisan Sari, Laman Santai Gamelan. Kami berpeluang untuk belajar mengenai Tradisi serta menyaksikan sendiri Persembahan Gamelan yang melibatkan tiga buah sekolah rendah.


Kami juga berpeluang untuk memakai pakaian yang digunakan untuk tarian Gamelan. Cantik-cantik bohh apabila kami memakai pakaian tradisional tersebut. Selesai bergambar, kami juga berpeluang bermain alat gamelan yang berada di atas pentas.

orang Jepun pun nak okay cuba tradisi kita. bukan biase2 nihh 

main jangan tak main 😂😂

Selesai makan tengahari di Warisan Sari, kami meminta diri untuk ke destinasi lawatan seterusnya. Perjalanan yang memakan masa selama 25minit telah membawa kami ke Perkampungan Cina. Ia merupakan tarikan terbaru di Kuala Terengganu dan sebagai menggambarkan kepentingan wujudnya Golongan/Generasi Cina Perarakan di Kuala Terengganu. Di sini ramai pengunjung menikmati keunikan hiasan dinding yang dilukis di lorong-lorong dan sepanjang jalan Kampung Cina tersebut. Kedai-kedai menjual kain dan pakaian juga terdapat banyak di sini. Selain itu, Kampung Cina ini juga terletak berhampiran Pasar Payang yang memang sentiasa dikunjungi oleh ramai pengunjung/pelancong. Kami tidak lepaskan peluang untuk membeli-belah di situ.


orang kata mai Terengganu bawak satu beg, balik ja beg beranak jadi banyak.. hahahahaha banyak benor shoppingnyaa haa

Tepat pukul 4, kami bertolak pula ke Noor arfa Batek Sdn Bhd yang terletak di Kawasan Industri di Cendering dan jarak lokasinya dianggarkan 25 kilometer dari Kuala Terengganu. Sebenarnya Noor Arfa adalah merupakan gabungan nama daripada pasangannya iaitu Wan Mohd. Ariffin dan Noor Hijerah. Sebenarnya bukan sahaja kilang pengeluaran batik yang terdapat di sini tetapi ia turut dikenali sebagai Noor Arfa Craft Complex. Bangunan Noor Arfa Craft Complex adalah dibina dengan senibina tradisional negeri Terengganu dan cantik sekali.
Noor Arfa Craft Complex adalah pengeluar dan pengedar batik yang terbesar di negeri Terengganu. Selain daripada itu juga, ia merupakan pusat pengumpulan dan pemasaran produk usahawan tempatan. Kain batik hasil buatan dari Noor Arfa Batek Sdn Bhd ini memang telah diakui oleh masyarakat tempatan kerana berkualiti tinggi dan pembuatannya yang sangat teliti. Di Noor Arfa Craft Complex ini, para pengunjung boleh meninjau di bilik pameran batik-batiknya dan turut boleh membeli dengan secara borong dengan harga yang berpatutan. Selain daripada itu, anda boleh melihat cara-cara pembuatan batik dan boleh merasa mencanting batik secara sendiri. Selain daripada batik, di sini juga terdapat kraftangan daripada ukiran kaca, anyaman dan pembuatan wau. Disebabkan kesuntukan waktu, kami hanya berada disini selama 20minit untuk membeli-belah sebelum kembali bertolak ke Keropok Lekor Kelulut 008. tak lengkap rasanya kalau datang Terengganu tapi nak merasa/membeli keropok lekor ni haa.. Sampai saja di sana, tanpa tunggu lama kami terus membeli keropok lekor. Ada keropok yang dah goreng dan rebus, dah siap-siap dibungkus. Untuk mudah kerja, apa yang kita nak, bagitau sahaja. Kalau rasa macam tak pasti, tanyalah kepada pekerja yang ada di kaunter. Sangat-sangat membantu. Lepas puas bershopping keropok lekor untuk bawak balik Penang. Kami pun singgah minum petang di gerai bersebelahan. Jangan kata minum petang saja, sekali dengan keropok lekor kami order untuk makan disitu, nak tunggu sampai Penang lambat lagi so merasa la dulu makan di situ. hehehe


gamabr selfie ja ada pun, keropok lekor dah habes 😂😂😂

Tepat jam 6petang, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur meninggalkan segala kenangan manis sepanjang berada di Terengganu bersama semua rakan-rakan yang baru saja berkenalan sepanjang 3h2m berada di Terengganu. Semoga ikatan persaudaraan kita tetap kuat walaupun dah berjauhan di negeri masing-masing.
Next time datang sini kami berharap dapat ke pulau-pulau yang terdapat di Terengganu seperti Pulau Perhentian, Kapas, Redang, Tenggol dan Lang Tengah sebab pulau-pulau disini memang terkenal di kalangan pelancong dalam dan luar negara.. kalau di pulau lebih banyak lah aktiviti yang boleh di buat kan? menyelam skuba, berkayak dan banyak lagi aktiviti sukan yang lain.
bagi saya kalau hampa nak bercuti.. Datang lah ke terangganu.. Permandangan yang cantik.. Makanan yang sedap dan murah..kalau bercuti dalam Malaysia bagi saya kita boleh save cost sebab lebih murah dan setanding dengan negara luar kan? and yang bestnya boleh juga belajar dialek lain hehe..


Comments

Popular posts from this blog

SHOPPING PADANG BESAR & PEKAN RABU

CAMERON HIGHLAND + PANGKOR ISLAND 4D3N

2D1N TERENGGANU RM199